Friday, October 7, 2016

Diet Atkin cara mudah turunkan berat badan

Maaf, lama tak kemaskini blog. Saya nak kongsi beberapa tips. Sebelum itu, saya nak maklum bahawa saya sedang diet setelah pertambahan berat badan lebih 15kg dalam 3 tahun kebelakangan ini. 

Saya telah mengamalkan diet Atkin. Sekarang ini, saya sedang minum teh hijau sencha tanpa gula petang ini sebelum azan asar.

Nak tahu khasiat dan kebaikan minuman teh dan kopi?

1. Untuk kopi, gunakan pemanis dari stevia atau madu asli dan jauhi gula sama sekali.

2. Untuk teh, dapatkan teh earl grey atau teh hijau yang diminum tanpa gula.

3. Untuk minuman bersusu, jauhi krimer, susu sejat krimer, susu pekat krimer. Gunakan susu segar.

4. Yang penting, jauhi minuman teh dan kopi segera 2 dalam 1 mahupun 3 dalam 1.

5. Minum teh TANPA GULA sangat bagus bagi mereka yang ingin berhenti merokok kerana kandungan anti oksida yang tinggi dapat menyingkirkan bahan kimia rokok dalam tubuh sekaligus mengurangkan ketagihan rokok.
Ketagihan gula sama dengan ketagihan rokok, ianya memudaratkan diri. Kurangkan gula dalam makanan dan minuman.

Minum air masak/mineral/RO pada peringkat remaja agak sukar kerana ketagihan gula. Kajian mendapati, apabila seseorang mencapai umur 35 tahun, metabolisme mula menyusut.
Jika ketika usia kita menjangkau 35 tahun masih lagi ketagihan gula, tunggulah sahaja masanya untuk potong kaki.

Diet Atkins.
Saya sudah cuba berbagai jenis diet sejak awal tahun 2016 tetapi gagal. Mungkin saya belum obese dan BMI saya masih normal. Dengan berat 73kg dan tinggi 1.68m, ianya normal tetapi saya mudah terasa penat.

Saya mula tahu mengenai Diet Atkins semenjak mengikuti facebook Dr Zubaidi.

Diet ini jenis mudah sekali tanpa berlapar mahupun bersenam. Sesuai untuk orang yang obese (sakit lutut nak bersenam), orang yang mengidap kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, buah pinggang dan orang yang malas bersenam tetapi ingin kekal kurus tanpa lapar.

Penyebab utama kegemukan ialah beras, pulut, kanji, ubi, tepung dan gula. Bila kita tak makan semua itu, hanya makan sayur, ulam, daging, ikan, ayam, telur dan oat serta air mineral/kosong 8 gelas besar sehari, insya Allah boleh susut berat badan paling sedikit 3 kg sebulan dan maksimum 20kg (jika obes)

Diet ini dinamakan Diet Atkins iaitu diet yang tidak perlu minum teh yang menyebabkan berak cair, senaman, puasa, makan pil atau pembedahan. Diet Atkins ialah diet yang paling selamat kerana kita masih makan.

Bayangkan berat kita 70kg, kita hanya ambil masa 3 bulan untuk mengurangkan berat kepada 60 kg tanpa bersenam dan tanpa berlapar. (TERBUKTI!)

Tetapi kalau nak cepat susut, bersenamlah 10 minit selepas makan. Kalau makan 3 kali sehari, maknanya masa bersenam 30 minit.

Kolestrol dan lemak
Tadi terbaca surat khabar, nasi kabsah punca mati pucuk. Nasi Kabsah penyebab mati pucuk? Jangan baca tajuk sahaja tau hehehe. Bukan kabsah puncanya, kalau baca betul-betul, ia berpunca dari kolestrol dan lemak. Dia fokus pada kabsah kerana ianya menjadi makanan yang kerap dimakan di Arab Saudi.

Kalau di Malaysia, kita suka makan apa? Semak semula lemak dan karbohidrat dalam nasi, nasi lemak, nasi goreng, makanan makanan bergoreng, berkanji, kuih mueh dll.

Dalam Diet Atkin, semua jenis nasi, tepung dan gula tidak boleh diambil. Hanya sayur-sayuran dalam kuantiti yang banyak, buah-buahan, kekacang dan ikan bakar sebagai sumber protein dan air mineral 2 liter sehari sahaja.

Saya berjaya kurangkan berat badan asal saya iaitu kepada 58kg dengan kadar penurunan 15kg dalam masa dua bulan tanpa berlapar dan tanpa bersenam kecuali tekan tubi 17 kali dan bangkit tubi 40 kali sehari, alhamdulillah. Walaupun tak ketara penurunannya, saya  berasa lebih sihat dan cergas sekarang.
Cubalah! Tak mati pun kalau tak makan nasi, Insya Allah. Mesej ini ditujukan bagi mereka yang merasakan mustahil boleh hidup tanpa nasi!

Piramid makanan
Piramid makanan memang perlu diubah berdasarkan situasi kajian semasa.
Dulu, kita diajar untuk makan beras, tepung dan bijiran sebanyak mungkin.
Kajian terbaharu mendapati, makanan inilah penyumbang kepada penyakit kencing manis dan kegemukan.

Piramid terbaharu, utamakan gaya hidup sihat, makan sayur dengan banyak, kemudian makan sumber protein seperti ikan dan daging, ambil nasi atau tepung atau bijiran dengan kadar sederhana. Banyakkan minum air masak, kurangkan gula dalam minuman/makanan atau tiada gula langsung. Boleh rujuk di pautan

Elakkan nasi, pulut, ubi, kanji, gula, tepung dan makanan segera untuk kurus tanpa bersenam. Hanya makan sayur, ulam, telur dan sedikit lauk seperti ikan bakar, ayam bakar dan daging bakar serta air kosong 8 gelas sehari.

Kalori jadi lemak tersimpan
Jom semak mengapa kalori berubah menjadi lemak.

Tenaga harian yang diperlukan
= Berat semasa dalam kg x 30 kalori
= ___80___ kg x 30kalori
= __240__ kalori

1 mangkuk nasi mengandungi 207 kalori.
Tenaga harian yang diperlukan oleh badan anda bersamaan:
_____240__ kalori ÷ 207 = __1___ mangkuk nasi tanpa lauk dalam sehari!
Kita makan 3 -5 mangkuk sehari. Itu belum kira kalori lauk pauk. Kemudian kerja hanya dalam pejabat. Kalori yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak.

Rendah Karbohidrat
Sasarannya mudah, rendah karbohidrat. Ambil kurang 20 gram karbohidrat sehari. Karbohidrat bukan terletak pada lemak haiwan dalam menu kita, tetapi di dalam gula, nasi, pulut, kanji, ubi dan tepung.
Bayangkan sepinggan nasi mempunyai 80 gram karbohidrat. Itu nasi putih! Mee, spageti, laksa yang terbuat dari tepung gandum dan tepung beras mempunyai 100 gram karbohidrat. Sebab itulah mengapa pesakit kencing manis sangat menderita apabila makan nasi, pulut, kanji, ubi dan tepung. Ini membuktikan bahawa terdapat kehadiran gkukosa atau gula dalam makanan ini.

Sayur pula, terdapat 1 gram karbo dalam semangkuk salad/sayur. Jika tidak tahan lapar, makanlah 20 mangkuk sayur sehari.
Dalam sehari, saya kebiasaannya mengambil sayur sebanyak 3 mangkuk sehari, semangkuk oat kosong, ikan goreng, kekacang dan buah. Biasanya resepi sayur yang saya hidangkan ialah
1. sayur kubis, bijan, hirisan almond dan timun dijadikan salad bersama mayonis atau
2. terung bakar cicah sambal atau
3. betik mengkal dijadikan somtam tanpa gula.
4. Sayuran hijau bertangkai dipotong halus dan digoreng dengan mentega bersama  bawang putih, jintan dan lada hitam.
5. Ulam dan ikan rebus dicicah budu

Sasaran diet Atkins ialah membakar lemak atau karbohidrat. Secara sains, glukosa yang akan terbakar dahulu. Tapi bila glukosa tiada? Maka badan akan membakar lemak dalam badan untuk memberikan kita tenaga pada hari itu. Ia dapat dilihat seminggu selepas diet atkins. Maksud membakar lemak dalam badan ialah proses pembakaran semulajadi lemak yang terkumpul di perut, peha, pinggul, dagu, pipi dan belakang badan. Kesannya, selepas tiga bulan, anda bukan lagi obes. Diet yang mengenyangkan!

Kesimpulannya
Jadi, makanlah sayur sampai kenyang kerana sayur mempunyai serat yang tinggi,

2. makan buah-buahan sebagai kudapan atau snek. Buah-buahan dengan amaun yang sedikit. Elakkan pisang, durian, kurma dan anggur serta yang terlalu manis. Buah yang boleh dijadikan kudapan antaranya nona, nangka, ceri, langsat, rambutan dan sukun.

3. ambil protein dari kekacang, ikan, ayam (tanpa kulit), telur dan daging dalam kuantiti sederhana

4. banyakkan minum air mineral, jauhi gula dan krimer,

5. Jauhi makanan segera seperti snek, burger, sosej, makanan bergoreng dan seumpamanya.

6. Untuk bijirin, memadai oat yang dimakan kosong ataupun bersama susu segar atau susu tepung rendah lemak.

7. Jauhi minuman bergas, minuman jus kordial, ais krim dan produk makan bergula sama ada terang mahupun tersembunyi seperti donat, kek, cek mek, jala mas, puding raja, kuih-muih, agar-agar, dan seumpamanya.

8. Ubi memang harus dielakkan. Ubi kayu, ubi keledek, ubi kentang, lobak merah dan seumpamanya.

Senaman ringan paling kurang 5 minit sehari jika cara hidup kita kurang aktif.

Anda seharusnya sudah faham, kenapa ceria resepi sudah terhenti perkongsiannya. Hidup cergas!

Thursday, July 28, 2016

Resepi Makaroni dan Keju Ceria (Mac N Cheese)

'Mak' dan 'keju'(Mac n Cheese) adalah hidangan pasta orang Amerika klasik dan semua orang sukakannya. Yang penting, jangan ragu untuk menggunakan mana-mana jenis makaroni yang berbagai jenis corak tiub yang anda mahu. Saya telah membuat hidangan ini dan hanya menunggu sehingga adik kakak mencubanya!
Hidangan ini tidak akan memenangi sebarang hadiah di dalam pertandingan makanan kecuali dengan salad yang bagus bersama ayam panggang yang bagus. Wow!

Bahan-bahan

1. Makaroni
1 sudu teh garam
300 gram makaroni
dua cawan air tapis.
Didihkan air bersama semua bahan di atas sehingga makaroni agak kembang sedikit lebih kurang 10 hingga 15 minit. Selepas itu, toskan dan ketepikan.

2. Sos Pasta
30 gram mentega
dicairkan kemudian masukkan;
1 sudu besar tepung gandum
kacau hingga sebati kemudian;
4 ulas bawang putih, dikupas dan dihiris halus
ditumis sehingga naik bau dan campurkan;
2 helai daun salam
dan;
susu cair 250ml
biarkan didih sebentar kemudian masukkan;
3 biji tomato dipotong dadu
beberapa tangkai taim segar, atau kering pun tak apa
2 percikan sos Worcestershire, (pilihan, jika tiada, memadai bubuh sesudu kecil kicap manis dan sesudu kecil sos tiram)
1 parutan buah pala, (pilihan)
akhir sekali, masukkan;
70 gram keju Cheddar, baru diparut
50 gram keju Parmesan, baru diparut
jika tiada kedua-dua keju ini, memadai dengan menggunakan 110 gram krim keju tortura (tortura milk cream cheese).
Kacau sehingga sebati

Untuk hiasan tambahan, taburkan keju mozzarela ke atas makaroni tadi.
Masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan 220 darjah sentigred. Bakar selama 20 minit

Untuk hiasan selepas memadak, taburkan 3 genggam besar serbuk roti (breadcrumbs) dan reniskan sedikit minyak zaitun semasa masih panas lagi.

Resepi asal dari Jamie Oliver yang saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya yakin, resepi ini mampu membuatkan adik kakok teruja dalam kesedapan!

Thursday, July 21, 2016

Kek Sarang Semut Ceria (Gula Hangus)

Kek Sarang Semut Ceria atau Kek Gula Hangus Ceria juga dikenali Kek Span Gula Hangus suatu masa dahulu, bukanlah cerewet cara membuatnya.

Untuk newbies atau yang baru nak cuba membuatnya, inilah bahan-bahannya:

Gula Karamel
= 1 cawan gula disangai di atas kuali atau periuk
tunggu sampai semuanya menjadi karamel kemudian;
= 1 cawan air panas dituang perlahan-lahan, kemudian;
= masukkan 2 sudu marjerin atau minyak sapi dan gaul sampai marjerin/minyak sapi sebati. Tutup api. Jangan gaul lama-lama

Bahan basah
= 4 biji telur ayam gred B atau 3 biji kalau gred A dipukul sampai kembang dan bukan sampai bertanduk
= 150 ml susu pekat dituang ke dalam telur dan dipukul sampai susu sebati sahaja
= 1 sudu teh vanila kalau tak mahu, tak payah bubuh.

Bahan Kering
= 1 cawan tepung gandum tanpa peluntur (unbleached) disaring bersama
= 1 sudu teh soda bikarbonat dan
= 1/2 sudu teh serbuk penaik

Bergabung...
1. Tuangkan bahan basah sedikit demi sedikit ke atas bahan kering, gaulkan. Ini untuk mengelakkan ianya berketul

2. Selepas itu, tuangkan adunan ini ke dalam gula karamel kita tadi. Gaul sebati.

3. Griskan loyang, kemudian tuangkan adunan berkaramel tadi ke dalam loyang yang hendak dibakar. Peram sekurang-kurangnya sejam setengah, lebih cantik kalau 3 jam ke atas.

4. Panaskan ketuhar selama 10 minit dan masukkan adunan tadi. Bahagian atas loyang dibalut kerajang aluminium. Cara bakar;

= Jika guna ketuhar api gas, 160 darjah sentigred selama setengah jam memadai.
= jika kukus, kukuslah selama 30 minit. Air pengukus hendaklah seinci dari loyang (isian penuh)
= Jika guna oven elektrik, tetapkan api 200 darjah sentigred bahagian bawah sahaja. Ketinggian loyang dari besi bara tu sejengkal (ibu jari dan jari telunjuk).
Kek ini bukannya macam apam. Kalau jadi apam maknanya tak menjadi. Tekstur kek jika dibelah tengah, ianya berlubang seperti span. Jika span cuma jadi bahagian bawah tapi bahagian atas jadi apam, pun kira tak menjadi lagi

Jika sudah mahir, boleh naikkan lagi jumlah bahan sekali ganda seperti berikut
2 cawan gula
2 cawan air panas
setengah cawan marjerin atau minyak sapi

8 biji telur gred B atau 7 biji gred A
setengah tin susu pekat
1 sudu makan vanila

2 cawan tepung gandum
1 sudu makan soda bikarbonat
2 sudu kecil serbuk penaik

di bakar selama 35 minit hingga 45 minit. Bermakna, masa minit 35, kena cek sama ada dah masak belum, bau rentung ke tak. Banyak faktor mempengaruhi. Jika sudah berjaya dan mahir, kekalkan alatan anda itu termasuk ketuhar yang anda guna kerana setiap alat dan ketuhar berbeza-beza jenis dan suhunya.

Masih tidak jadi sarang semut?
1. Masa membakar boleh jadi kurang 5 minit atau lebih 5 minit dari yang dinyatakan di atas.
2. Suhu api boleh jadi kena kuatkan lagi atau kena perlahankan lagi.
3. sukatan di atas ialah sukatan standard mengikut acuan standard, boleh jadi sukatannya berubah jika menggunakan cawan minuman.
4. TERAKHIR: Jika ketuhar elektrik anda bakar kek ini sebanyak 3 kali tidak menjadi, bermakna anda kena tukar ketuhar api kerana ada sesuatu tidak kena pada ketuhar elektrik anda.

Tuesday, June 28, 2016

Telur Shashuka Ceria

Telur shashuka (Syasyuka) adalah masakan yahudi dan mediteranean sering dijumpai di restoran nasi arab milik warga arab di Malaysia. Inilah bahan-bahannya.

Bahan Tumis
bawang besar 1 biji atau bawang kecil 2 biji
Bawang putih parut 2 biji
Lada benggala 1/2 biji
tumis sampai bawang layu dan naik bau kemudian

Campurkan
Sos tomato 2 sudu kecil
tomato cincang 800g (saya gantikan dengan 3 sudu besar sos pasta, 2 biji tomato kerat 16 dan 1/2 cawan air).
gambar contoh tomato cincang dalam tin.

Jintan putih 1 sudu kecil
Paprika 1 sudu kecil
Serbuk cili 1 sudu kecil (saya ganti cili boh)
Cili empeng 1 sudu kecil (saya tak letak sebab pedas sangat)
Gula 1 sudu besar
garam 1 sudu kecil
lada hitam 1 sudu kecil

didihkan 15 minit atau sampai pekat. Cuba rasa kemasinan. Baiki jika perlu. Kemudia barulah



pecahkan telur 3 biji dan gaul laju-laju jika mahu telur hancur. 

Kalau nak buat telur mata kerbau, pecahkan atasnya dan tunggu telur masak.



Saturday, June 25, 2016

Ayam Mashwi (Dajaj Mashwi)

Resepi Ramadan, nak masak cara nandos tapi gaya arab. Inilah dia, ayam mashwi, mashwi ni maksudnya panggang. Sumber asal resepi ini saya ambil di FB (اكلات وحلويات رمضانية) Aklatun wa Hulwiyyatun Ramadaniah (Makanan dan Manisan Bulan Ramadan). Nama asalnya (طريقة عمل الدجاج المشوي بالكيس) thoriqatun amalunid-dajajil-meshwi bilkis iaitu bermaksud resepi ayam panggang dengan plastik kalis api. Blog resipinya http://www.cookwd.com/2016/05/roasted-chicken.html

Saya kalau masak yang arab, tengok resepi pun yang dari arab. Itulah untung kalau ambil Bahasa Arab SPM. Saya ada ubahsuai sikit resepi asal.

Bahan-bahannya
1.5 kg ayam (ayam seekor)
2 sudu kecil garam
Selepas sapu garam, masukkan dalam peti sejuk beku (freezer) dalam sejam.


Bahan lulur ayam
2 sudu besar minyak zaitun
sebiji jus lemon dan parutan kulitnya
1 sudu besar cuka
2 sudu besar rempah kari
1 sudu kecil jintan putih (dikisar)
1 sudu kecil ketumbar (dikisar)
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar paprika (kalau nak kurangjadi 1/4 sudu kecil)
1/2 sudu besar sos cili (ikutlah jenama apa)
6 ulas bawang putih diparut
1 inci halia diparut
1 biji cili hijau dipotong
1 biji bawang besar (atau 2 biji bawang kecil) dibelah empat dimasukkan dalam badan ayam

*tambahan, saya masukkan dua sudu besar cuka arang (smoke liquid)
*tambahan kedua, saya masukkan sesudu besar rosemary.

Gaul dan lulur. Masuk dan sapu rempah dalam badan ayam. Rehat 10 minit hingga sejam.

Sayuran
2 biji kentang dipotong empat
1 batang lobak merah dipotong empat
2 batang zukini atau timun batang dipotong empat
* nak potong sepuluh pun boleh, potong 4 ni lebih ranguplah.

Jem, sarat pula. Tak pasal-pasal kena tukar bekas. Resepi asal 1 kg ayam, ayam ni ayam besar sebab itu lebih muatan. Terpaksa tukar loyang heheh

Bakar dengan api sederhana (150 darjah sentigred) selama sejam setengah atau api kuat (220 darjah sentigred) selama 45 minit. Siap dihidang bersama sos nandos. Yang latar belakang tu kuih manisan lokma, ada dalam FB tadi juga.


Resipi masakan singgah di sini selalu ya